Tuesday, July 5, 2011

Peranan Suami Ketika Isteri Hamil



PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIAMALKAN OLEH SUAMI KETIKA ISTERI MENGANDUNG

a. Suami hendaklah banyak bertaubat kepada Allah SWT.

b. Banyak membaca Al-Quran dan mengharapkan agar anak yang ada dalam kandungan isteri akan memahami keinginan baik yang terkandung dalam Al-Quran tersebut.

c. Suami hendaklah banyak berpuasa sunat, Isnin dan Khamis dll.

d. Suami hendaklah rajin mengerjakan solah berjemaah.

e. Elakkan pergi ke tempat yang tidak dibenarkan syarak.

f. Rajin menghadiri majlis ilmu dan orang-orang soleh.

g. Suami hendaklah banyak bersabar dalam menjalin hubungan dengan isteri.

h. Dilarang memakan benda-benda haram, begitu juga dilarang memberi isteri rezeki yang tidak halal, rasuah serta wang riba.

i. Banyak membaca doa keselamatan isteri yang sedang mengandung dan keselamatan anak dalam kandungan.

j. Dilarang membuka aurat kerana dikuatiri mempengaruhi akhlak anak yang akan lahir nanti.

k. Suami hendaklah menjauhi diri daripada marah dan benci pada isteri.

l. Banyak membaca surah Al Fatihah, Luqman, Yasin, Yusuf, Surah An Nahl ayat 78, surah Al A’raf ayat 189 dan ayat Kursi.


ADAB SUAMI KETIKA ISTERI MENGANDUNG

Ketika isteri mengandung, suami hendaklah benar-benar bertanggungjawab terhadap isteri kerana perasaan isteri sangat sensitif pada saat itu. Ia sangat memerlukan perhatian daripada suami yang disayanginya. Ada beberapa perkara yang perlu suami lakukan terhadap isteri yang sedang mengandung :

a. Suami hendaklah menunjukkan rasa kasih sayang terhadap isteri, sebagai teman hidup yang paling dekat.

b. Hendaklah berlaku jujur dan setia terhadap isteri serta hindari daripada bersikap kejam terhadap isteri.

c. Selesaikan dahulu jika ada perselisihan faham yang berlaku dengan isteri sebelum masuk tidur.

d. Jangan mudah mengeluarkan perkataan talaq kepada isteri.

e. Ketika isteri hampir bersalin, suami digalakkan membaca doa berikut, “La ila ha illa anta subha naka inni kun tum minadzolimin” maksudnya “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau Maha Suci. Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku termasuk di kalangan orang yang zalim”

f. Suami hedaklah kerap solat sunat dan mendoakan agar isteri dan anak dalam kandungan selamat.


PERANAN SUAMI KETIKA ISTERI HAMIL

1. Kongsi maklumat kehamilan
Kehamilan membawa perubahan kepada isteri, baik secara fizikal ataupun emosi. Isteri yang dahulunya lincah dan segar, akan mula mudah penat, pening dan muntah-muntah.

Sikapnya juga semakin sensitif, mudah menangis dan marah walaupun untuk perkara yang anda rasakan tidak perlu. Kepada lelaki, anda jangan sekali-kali bingung dengan perubahan ini. Ini kerana ia merupakan sesuatu yang normal dan kebanyakan wanita hamil akan melaluinya.

Walaupun berlaku perubahan pada isteri anda, itu tidak bermakna anda tidak boleh banyak membantu. Sebagai seorang suami yang memahami, carilah sebanyak mungkin info tentang perubahan fizikal dan emosi yang dialami oleh isteri.

Selepas itu, cuba kongsi pengetahuan anda dengannya. Dia pasti teruja dengan apa yang anda ketahui. Perhatikan juga perkembangan kehamilan isteri anda, misalnya mendengar denyut nadi dan merasai pergerakan-pergerakan yang dilakukan oleh bayi.

Sekiranya anda mampu melakukannya, tidak mustahil sikap anda yang pada mulanya kurang sabar dengan karenah isteri akan berubah menjadi lebih memahami dan empati. Sikap anda yang prihatin, pastinya akan menambahkan rasa cinta isteri terhadap anda.

2. Jaga pemakanan isteri
Ramai suami yang mengabaikan aspek ini apabila isteri hamil dengan alasan si isteri tahu apa yang terbaik untuk diri mereka. Tanggapan ini salah kerana seiring dengan perubahan tubuhnya, wanita hamil juga memerlukan beberapa zat tertentu mengikut peringkat kehamilannya.

Sebagai suami yang prihatin, pastikan isteri anda menjaga pemakanannya dengan kesihatan janin dan dirinya. Jika mempunyai masa, apa salahnya luangkan masa untuk menemani isteri menjamu selera atau makan bersama-sama dengannya.

Anda juga jangan kedekut untuk berbelanja lebih untuk membelikan makanan berkhasiat untuk isteri. Tidak hanya soal pemakanan, isteri juga memerlukan masa rehat yang mencukupi agar pembesaran janin tidak terganggu.

Ketika inilah suami perlu lebih ringan tulang membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah. Sikap anda yang sebegini, pasti membuatkan isteri terharu dan bertambah menghormati anda sebagai seorang suami.

Mengandung merupakan beban dan tekanan terhadap wanita dan dari segi fizikal, dia harus menampung kandungannya, tubuh badannya bekerja lebih kuat serta jantungnya mengepam darah 40% lebih daripada keadaan biasa dan buah pinggangnya harus mengendalikan pembuangan kotoran bayinya.

3. Hindari stress
Sewaktu hamil, jangan sekali-kali memberikan tekanan kepada isteri. Anda sebagai suami perlu mengelakkan isteri daripada berdepan dengan sebarang masalah.

Jika boleh, anda cuba selesaikan masalah yang dihadapi tanpa memberitahu isteri. Jika terpaksa, beritahu isteri dengan cara yang paling santai agar isteri tidak terkejut mendengarnya.

Selain itu, jangan sekali-kali membenci perubahan bentuk tubuh isteri. Sebaliknya kagumi bentuk tubuhnya dan katakan isteri anda kelihatan lebih seksi ketika hamil.

Kata-kata anda mampu menenangkan hatinya dan mengelakkannya tertekan memikirkan anda mungkin mencari wanita lain yang lebih seksi di luar sana.

4. Temani berjumpa doktor
Kesudian anda menemani isteri untuk bertemu dengan doktor bagi mendapatkan rawatan memberikan makna yang cukup besar kepada isteri. Isteri akan berasa diri mereka disayangi dan dihargai.

Ia juga menandakan seseorang suami itu prihatin dan menyanyangi isteri serta anak yang dikandungnya itu. Namun ada juga suami yang mengambil mudah tentang perkara ini.

Mereka sanggup membiarkan isteri yang sarat hamil memandu sendiri atau menaiki bas untuk mendapatkan rawatan di klinik. Emosi isteri pastinya akan terganggu apabila melihat wanita lain ditemani suami masing-masing ketika mendapatkan rawatan.

Situasi ini sangat tidak sesuai buat isteri dan sebagai suami yang yang bertanggungjawab, anda perlu mengelakkan perkara ini daripada berlaku. Berikan isteri anda semangat dan sentiasa menemaninya sewaktu susah mahupun senang.

Sebagai suami yang soleh dia akan bersifat empatik untuk turut merasakan penderitaan isterinya walaupun tidak secara langsung dan suami harus banyak terlibat dalam proses jagaan kehamilan, kelahiran bayi dan perhatian terhadap isteri.

DORONGAN SUAMI SEMASA ISTERI BERSALIN
Saat isteri akan melahirkan anak sewajarnya suami ada di sisi. Waktu pantang dan selepas kelahiran, bayi juga dapat menimbulkan tekanan jiwa dan emosi isteri kerana ia harus menyusu dan membersihkan bayi antara 2-3 jam setiap malam. Suami yang baik akan berusaha mengurangi beban isteri dan turut menjaga bayi di waktu malam.

Begitu seterusnya perhatian dan tanggungjawab suami terhadap isteri itu berterusan, semenjak hamil sehinggalah menjaga anak adalah pekerjaan yang harus dibantu oleh suami agar isteri dapat merasakan kebahagiaan dan keringanan dalam menjalankan tanggungjawab yang berat itu.

Mungkin ada isteri mengambil kesempatan "over" manja dan suami yang teramat sayang pada isteri akan membuat semua kerja rumah, isteri diberi cuti, semua kerja dibuat suami termasuklah memasak, membasuh baju dan mencuci pinggan mangkuk.

Isteri menjadi terlalu manja kerana sayangkan suami justeru dia tidak ada tempat lain untuk mengadu kasih.




TANGGUNGJAWAB BAPA TERHADAP KELAHIRAN ANAK

Menanam uri.
Kebanyakan daripada kita tidak menghiraukan tentang kepentingan uri. Di saat-saat kegembiraan menerima ahli baru, seringkali uri dilupakan. Jika pihak keluaga tidak mengambil uri, klinik atau hospital mengumpulkan uri-uri itu dan didermakan kepada syarikat swasta. Kemudian uri itu diproses bagi memperolehi hormon yang terkandung di dalamnya. Hormon-hormon ini banyak digunakan dalam alat-alat kecantikan dan solekan. Sebahagian ibu bapa cuma membuangkannya dalam tong sampah tanpa memikirkan uri adalah teman rapat bayi di dalam kandungan. Uri amat penting kepada bayi. Orang tua dahulu mengamalkan cara menanam uri dengan baik. Mereka mencuci dan membalutnya dengan kain dan ditanam. Adab ini adalah baik kerana menghargai sesuatu.

Mengazan dan mengiqamatkan bayi yang baru lahir.
Telinganya berfungsi dengan baik. Islam menganjurkan diazankan di telinga kanan dan diqamatkan di telinga kiri. Tujuannya ialah untuk mengingatkan kembali anak tentang perjanjian yang pernah dikaitkan dengan tuhan di alam Rohani.

Mendoakan anak.
Usaha membesarkan dan mendidik anak supaya menjadi manusia berguna bukanlah suatu yang dapat dipastikan kejayaannya. Berdoa adalah satu usaha. Doa merupakan usaha meminta pertolongan kepada Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...